Sunday, January 24, 2010

Suami Ideal Tidak Terlalu Cemburu

.
SYARIAT Islam menetapkan bahawa perkahwinan adalah suatu ikatan yang diciptakan oleh Allah dalam menyatukan dua insan yang berlainan jenis. Sebagai suami atau isteri, mereka perlu mengetahui bahawa tanggungjawabnya bukan sekadar menjalankan kewajipan asas kepada pasangan, malah berperanan dalam mewujudkan kemesraan, keharmonian dan keseronokan. Bagaimanapun, harus diingat, segala 'keindahan' yang diimpikan itu hanya dibenarkan sesudah sahnya pernikahan, bukan sebelum itu.

Kebiasaan kini, istilah bercinta sebelum berkahwin kerap menjadi prasyarat dalam memastikan 'calon' yang dipilih benar-benar serasi dan sesuai. Atas alasan itu, maka setiap perbuatan yang dilakukan seolah-olah di'halal'kan tanpa memikirkan risiko dan akibatnya dari segi agama dan maruah.

Ada pasangan yang sekian lama bercinta dan bebas ke sana ke mari seperti belangkas. Selepas kedua-duanya merasakan sudah 'serasi', barulah mengambil keputusan untuk berkahwin. Akhirnya, usia perkahwinan belum pun menjangkau lamanya umur bercinta, tiba-tiba bercerai. Inikah yang kita mahukan selepas puas menjalinkan ikatan percintaan?

Sebagai peringatan kepada wanita, bakal calon suami yang baik, lagi salih tidak boleh diperoleh hanya melalui proses percintaan sedemikian. Hal ini kerana bercinta melalui hubungan intim atau keluar berdua-duaan dan berpegangan tangan, tidak lain hanya perbuatan dilarang dalam Islam.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita (yang bukan mahramnya) kerana yang ketiganya adalah syaitan." (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh demikian, seorang wanita Muslim perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap seorang lelaki yang mengajaknya keluar berdua-duaan. Ajakan yang dibuat itu perlulah diteliti dulu latar belakang dan tujuan lelaki itu. Perkara itu kerana kemungkinan lelaki itu:

• Hatinya berpenyakit kerana ingin berdua-duaan dengan perempuan yang bukan mahramnya. Lebih bahaya jika dia ada niat buruk di sebalik ajakannya itu.
• Belum mempunyai pendirian tetap untuk berumah tangga dan masih tidak pasti sama ada mahu mengambil pasangannya sebagai isteri. Oleh itu, dia memilih untuk bercinta dulu dan selepas itu bebas menentukan pilihannya.
• Seorang yang banyak tipu daya dan janji palsu. Justeru, bercinta adalah cara terbaik bagi lelaki itu untuk menabur janji manis yang belum pasti untuk ditunaikan.

Firman Allah bermaksud: “Wanita yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk wanita yang keji (pula) dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik (pula).” (Surah an-Nur, ayat 26)

Antara kriteria suami yang disarankan Islam adalah:-

Bersikap jujur dan berterus terang ketika membuat lamaran.

Sikap ini bermula sebelum lelaki itu menjadi suami iaitu ketika lamaran dibuat. Sejak awal lagi, dia menunjukkan kejujuran dan berterus terang. Dia bukan saja mahu merisik kebaikan dan kelemahan calon isterinya, malah kelemahan dan kelebihannya juga tidak disembunyikan.

Melayan isterinya dengan baik.

Layanan dan kasih sayang yang diberikan oleh seorang suami menunjukkan bahawa dia menghormati isterinya sebagai teman dan sahabat yang diperlukannya ketika senang atau susah. Segala kekurangan dan kelebihan isterinya diterima dengan hati tabah dan reda.


Mengasihi isteri seperti dirinya sendiri.

Suami baik dan ideal adalah seorang yang tidak terlalu cemburu, tidak menyimpan rasa curiga dan tidak bersifat keterlaluan dalam segala sesuatu. Dia sanggup memberikan sepenuh kepercayaan kepada isteri, di samping melindungi maruah dan kehormatan dirinya. Malah, jika didapati ada sebarang kelemahan pada isteri, dia mudah berlapang dada dan bersedia membantu untuk memperbaikinya dengan penuh kasih sayang.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang yang beriman tidak boleh membenci isterinya. Jika dia tidak suka kepada salah satu perangainya, tentu ada salah satu perangainya yang dia sukai." (Hadis riwayat Muslim)

Memuliakan isteri.

Memuliakan isteri, termasuk kemampuan seorang suami untuk berbicara dan berkomunikasi dengan baik dalam setiap keadaan serta mengucapkan kata-kata yang menenangkan jiwa isterinya. Suami juga mesti pandai mengambil hati isteri ketika dia menghadapi tekanan emosi atau kepenatan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Yang terbaik antara kamu adalah orang yang terbaik kepada isterinya. Sebab orang yang memuliakan wanita, pasti orang yang mulia. Sebaliknya, orang yang menghina wanita (isteri) pastilah orang tercela." (Hadis riwayat Ibnu Asakir)

Memenuhi hak isteri sesuai dengan syariat Islam.

Suami salih akan berusaha memenuhi hak isterinya sesuai dengan syariat Islam. Sabda Rasulullah bermaksud: “Hendaknya orang yang mampu menafkahkan kepada isterinya menurut kemampuannya. Dan orang yang sedikit rezekinya, hendaklah memberi nafkah sesuai yang Allah berikan."

Justeru, suami perlu memberikan belanja yang cukup, tidak boros dan bakhil kepada isterinya sesuai dengan garis kesederhanaan.

Sentiasa menjaga kebersihan dan berhias untuk isteri.

Seperti tuntutan ke atas isteri, seorang suami juga dituntut untuk berhias dan berhadapan dengan isterinya dengan bersih dan kemas tanpa mengurangkan sifat kelelakian dan kewibawaannya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Cucilah wahai lelaki pakaianmu, pakailah minyak rambut, bersihkan gigimu dan bersucilah kerana Bani Israel tidak melakukan hal ini kepada isteri mereka." (Hadis riwayat Thabrani)


Memelihara rahsia rumah tangga.

Suami yang baik mampu menjaga kerahsiaan dalam rumah tangganya dan tidak mudah untuk disebarkan kepada orang lain. Ini termasuk kelemahan isterinya sendiri. Sebaliknya, beliau cuba untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi dengan bijak dan berhikmah.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Apa hak isteri ke atas suaminya?" Nabi menjawab: "Memberi isteri makan apabila kamu makan, memberi isteri pakaian apabila kamu berpakaian, tidak boleh memukul wajahnya dan tidak boleh menjelek-jelekkannya dan menjauhinya kecuali dalam lingkungan rumahmu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya, kaedah pertemuan antara dua insan sebelum pernikahan akan menentukan nilai dalam kehidupan berumah tangganya nanti. Apabila pasangan itu bertemu dulu bukan kerana, Allah maka segera memperbetulkannya mengikut syariat Islam.

Begitu juga ketika proses pernikahan, apabila ia dijalankan dengan tidak melanggar syariat, maka ia akan mudah dibentuk menjadi rumah tangga ideal yang penuh kebahagiaan (sakinah) dan berkasih sayang (mawaddah warahmah).

Rumah tangga yang mengalami proses sebegini umpama sebuah pohon yang sedang tumbuh di persekitaran subur, walaupun nampak lambat, namun pasti besar merimbun.

No comments:

Post a Comment